PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Tidak dinafikan lagi bahawa bahasa Melayu diperakui sebagai bahasa bersifat kebangsaan berasaskan kepada gerak sejarah yang telah dilaluinya. Atas kepentingan inilah bahasa Melayu dikodifikasikan dalam Perlembagaan Malaysia (Perkara 152) sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Penggunaan bahasa Melayu turut memberi implikasi terhadap dasar pendidikan negara. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada Mei 1970 adalah merupakan satu peristiwa kebudayaan yang bersejarah kepada rakyat Malaysia amnya. Pengukuhan kepada tindakan tersebut disusuli lagi dasar yang baru antaranya dengan menggubal Dasar Kebudayaan Kebangsaan Malaysia 1971. Komitmen dan iltizam yang dizahirkan tersebut adalah bertujuan untuk memelihara kepentingan bahasa Melayu sebagai mengabsahkan asas pembinaan negara bangsa yang telah dibentuk sebelumnya.
Kini bahasa Melayu perlu berinteraksi dengan keperluan zaman yang canggih dalam arus perkembangan teknologi, kemajuan perdagangan dan kegiatan ekonomi serta perhubungan yang bersifat global didukung oleh bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris. Dominasi dan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat langit terbuka tidak dapat dielakkan. Realitinya, bahasa Inggeris telah diangkat sebagai bahasa intelektual untuk mendalami bidang teknologi dan ilmu pengetahuan yang lain dalam pelbagai bidang. Walau bagaimanapun, keperluan mendadak terhadap ilmu sains dan sebagainya bukanlah satu ancaman sehingga merendahkan kemulukan bahasa Melayu untuk berfungsi sebagai alat penyebaran ilmu. Menurut Nor Shah Mohamed dalam artikelnya “Dalam Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Dunia Informasi, Komunikasi dan Teknologi (ICT): Isu dan Cabaran”, secara positifnya, bahasa Inggeris dilihat sebagai medium untuk berkomunikasi dalam dalam pelbagai bidang ilmu terutamanya dalam bidang teknikal.
Merujuk kepada latar belakang sistem pendidikan di Malaysia, senario yang berlaku di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam pada tahun 1983 telah menunjukkan sebahagian besar kursus pelajar tahun satu universiti dalam bidang sastera, sains, kejuruteraan, perubatan dan sebagainya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Perancangan ini belum dikira sejak tahun 1956, iaitu semasa pelaksanaan dasar Penyata Razak. Berdasarkan kepada penulisan Kamal Shukri Abdullah Sani dalam makalahnya “Bahasa Melayu Dipertahan Bahasa Inggeris Diperkukuhkan”, beliau menjelaskan bahawa secara umumnya, lebih lima juta pelajar telah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan bagi peringkat SPM sejak tahun 1975 hingga tahun 2001. Daripada jumlah pelajar tersebut, lahirlah professor dan pakar sains, kejuruteraan, perubatan, teknologi dan sebagainya untuk mengisi sumber tenaga manusia di negara ini dalam pelbagai bidang.
Tegasnya, pengajaran dan pembelajaran dalam medium bahasa Melayu tidak akan menggugat para pelajar di peringkat tinggi untuk menguasai pelbagai cabang bidang ilmu dengan baik. Hal ini demikian kerana usaha yang berterusan telah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan pihak-pihak lain yang bertanggungjawab melaksanakan pelbagai aktiviti seperti kegiatan penterjemahan, pembinaan istilah dan penerbitan buku-buku ilmiah dapat memenuhi tujuan tersebut. Semua perancangan ini perlu disokong oleh semua pihak bagi memastikan pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu yang lebih praktis sifatnya dan sentiasa relevan.
Mengambil contoh perkembangan yang berlaku di Jepun dan Jerman telah membuktikan bagaimana kedua-dua bahasa itu begitu cepat menyesuaikan keadaan dan membina kecemerlangan ekonomi selepas Perang Dunia Kedua. Jika diperhatikan perkembangan yang berlaku di Jepun dan Korea, gerakan penterjemahan telah menjadi tanggungjawab nasional dan dianggarkan di keduadua buah negara itu kira-kira dua puluh ribu hingga tiga puluh ribu judul buku diterjemahkan pada setiap tahun. Mereka mengejar kemajuan, tetapi tidak mengabaikan obligasi membina tamadun bangsa. Apabila pelbagai disiplin ilmu pengetahuan yang ditulis dalam bahasa asing diterjemah dengan segera dalam bahasa ibunda mereka, secara tidak langsung tindakan tersebut dapat memperkasakan lagi bahasa dan kebudayaan tamadun negara mereka.
Sehubungan dengan itu, berdasarkan pandangan yang telah dilontarkan oleh seorang ahli sosiologi yang terkenal Malik Bennabi, beliau berpandangan bahawa apabila kita menuturkan pemikiran-pemikiran dengan menggunakan bahasa asing, mentaliti masyarakat boleh menjadi buta budaya sendiri dan ada kalanya sehingga sampai ke tahap pengkhianatan. Berdasarkan kepada hipotesis yang dikemukakan oleh Ellen Byalistok dalam bukunya “Bilingualism in Development: Language, Literacy and Cognition, bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan pelajar yang melalui pengajaran dan pembelajaran secara dwibahasa menjadi lebih berjaya daripada yang menggunakan satu bahasa. Kajian juga membuktikan ada tanda-tanda yang menunjukkan pelajar yang dipaksa berbuat demikian mempunyai kemahiran bahasa yang lemah. Fenomena ini menyebabkan ahli bahasa memanggilnya sebagai “defisit bahasa”.
Jika bangsa lain boleh maju dengan bahasa ibundanya sendiri, mengapa pula institusi pengajian tinggi tempatan tidak boleh maju dengan bahasa Ibundanya. Percayalah bahawa bahasa yang tidak diaplikasikan sebagai wadah ilmu dan cuma diaplikasikan sebagai bahasa pasar, bahasa pertuturan tahap rendah, bahasa basahan, sekadar bersembang dikedai kopi akhirnya akan hilang maruah. Nilai bahasa tersebut akan pupus ditelan arus zaman sebagaimana yang berlaku pada bahasa Anglo Saxon (bahasa Inggeris tua). Justeru itu, perkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pengajaran dan dalam masa yang sama peningkatan penguasaan bahasa lain seperti bahasa Inggeris tidak boleh dinafikan kepentingannya. Usaha murni untuk menguasai mana-mana bahasa yang dapat membantu meningkatkan kemajuan tamadun merupakan satu usaha yang wajar. Meskipun begitu, penguasaan bahasa asing tersebut tidak seharusnya mengorbankan dasar-dasar negara yang menyentuh tentang Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Kepentingan menguasai bahasa Inggeris bukanlah satu perkara yang dipertikaikan lagi dewasa ini. Pengukuhan untuk memantapkan pengusaan bahasa Inggeris di peringkat pengajian tinggi adalah sesuatu perkara yang penting pada hari ini. Hal ini demikian kerana bahasa tersebut menjadi alat utama untuk berkomunikasi dengan pihak luar. Peningkatan pengusaaan bahasa Inggeris kepada para pelajar boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara dengan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti bagi menjaya usaha tersebut. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, realiti yang berlaku kini penggunaan bahasa Inggeris telah digunakan dalam proses penyampaian ilmu kepada para pelajar tambahan lagi dalam bidang teknikal. Hal ini demikian kerana umum mengetahui bahawa sebahagian besar penulisan ilmiah dalam bidang tersebut ditulis dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, keghairahan mengaplikasikan pengggunaan bahasa Inggeris dalam kaedah pengajaran dan pempelajaran janganlah sampai mengabaikan kepentingan bahasa Melayu dalam landasan penerokaan ilmu. Ironinya, lautan ilmu janganlah disempitkan dengan hanya membataskan kepada penguasaan bahasa Inggeris semata-mata, sebaliknya penggunaan bahasa Inggeris dalam bidang ilmu itu dijadikan sebagai satu hambatan ke arah merancakkan lagi perkembangan intelektual.
Berdasarkan kepada realiti tersebut, maka kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bidang tersebut dilihat lebih berkesan dan mudah untuk disampai dan dituturkan dalam bahasa yang asal. Tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris itu penting tambahan lagi pada peringkat pengajian tinggi. Pengusaaan bahasa Inggeris diangggap sebagai satu kemahiran asas yang perlu dikuasai dan memberi satu kelebihan kepada individu yang menguasainya. Atas kepentingan inilah, bahasa Inggeris dilihat sebagai keperluan dan dimasukkan sebagai elemen kemahiran insaniah yang perlu ada pada setiap pelajar. Namun begitu, ia bukanlah menjadi satu alasan yang konkrit untuk mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak dapat berfungsi untuk memenuhi selera golongan ilmuan yang terdidik.
Journal of Human Development and Communication Volume 4, 2015 [125–134]