25 May
FAEDAH-FAEDAH MENGARANG

i. Dengan menulis kita dapat mengembangkan berbagai-bagai idea atau gagasan. Oleh itu kita terpaksa bertaakul dan bernalar; fakta-fakta serta isi hujahan dihubungkan dan dibandingkan. Hal ini mungkin tidak akan kita lakukan jika kita tidak menulis.

ii. Kegiatan menulis memaksa kita banyak mencari, mengkaji, menyerap dan menguasai maklumat yang berkaitan tajuk atau mauduk yang hendak ditulis. Dengan demikian, menulis memperluas dan memperdalam wawasan kita secara teoretis dan empiris tentang tajuk atau fakta yang kita paparkan.

iii. Kegiatan menulis yang terancang akan membiasakan kita berfikir serta berbahasa secara tertib. Ketertiban berfikir dan berbahasa sebenarnya menjadi cerminan keintelektualan seseorang.

iv. Dengan menulis kita akan dapat mengetahui kemampuan dan potensi diri. Untuk menulis dan mengembangkan sesuatu tajuk, kita terpaksa berfikir, menggali pengetahuan dan pengalaman yang kadangkala tersimpan dalam minda bawah sedar kita.

v. Keupayaan menulis dengan baik dan berkesan ialah suatu pencapaian yang harus diperolehi oleh golongan berpendidikan lebih-lebih lagi oleh golongan yang bergelar mahasiswa. Melalui kegiatan menulis dapat kita tunjukkan bahawa kita telah mencapai dan menguasai suatu tahap kemahiran menulis yang sewajarnya.

vi. Pendidikan formal yang kita lalui menekankan soal penerimaan ilmu dan maklumat yang bermakna. Soal ini memerlukan kemahiran dan kecekapan menulis. Kecekapan menulis bertalian erat dengan kecekapan berfikir, menyusun dan menyampaikan buah fikiran dengan baik. Dengan kata lain, penulis yang baik sebenarnya ialah pemikir. Pemikir dapat menjadi ahli profesional yang baik. Hal inilah merupakan ciri penting orang yang berpendidikan.

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING