Terdapat pelbagai teknik menulis perenggan bergantung kepada jenis dan motif karangan. Perhatikan teknik-teknik perenggan berikut yang boleh diaplikasikan sama ada ketika kita menulis perenggan permulaan, peranggan di bahagian badan karangan ataupun perenggan penutup.
1. Teknik Penyenaraian
Ayat dalam perenggan yang baik dapat dipecahkan kepada empat fungsi asas. Pertama, pembuka perenggan, iaitu ayat yang menentukan topik fokus dalam perenggan seluruhnnya. Kedua ialah pengembang perenggan yang menyajikan pelbagai contoh, bukti serta perincian bagi menyokong idea utama yang dikemukakan dalam pembuka perenggan. Ketiga ialah modulator, iaitu ayat yang menghasilkan peralihan yang lancar antara idea-idea yang berbeza dalam ayat. Keempat pengakhir perenggan, iaitu ayat menyimpulkan idea yang dibincangkan dalam perenggan secara logik. Bukan semua penulisan dicirikan oleh fungsi-fungsi ayat seperti yang dianalisis ini. Bagaimanapun, perenggan yang baik biasanya mempunyai gabungan beberapa fungsi daripada keempat-empat fungsi sepeti yang dinyatakan itu.
Ciri-cirinya: Pertama, Kedua, Ketiga, Keempat.
2. Teknik Percontohan
Tidak syak lagi, banyak daripada tamadun besar terlibat dalam terjemahan yang luas. Di Asia, Jepun dan China terkenal kerana bidang terjemahan mereka. Begitu juga tamadun Anglo-Saxon di Britain, Amerika Utara dan Australia. Malah, ramai penulis kita mengenali sastera dunia hanya melalui bahasa Inggeris. Tamadun Melayu pada kurun ke empat dan lima belas juga telah membuka diri kepada pemikiran Arab serta Parsi.
Ciri-cirinya: Asia, Jepun, China, Britain, Amerika Utara, Australia, Arab, Parsi.
3. Teknik Perbandingan
Di universiti dan juga maktab, ujian objektif dan peperiksaan esei merupakan dua kaedah penilaian yang sering digunakan untuk mengukur pengetahuan dan pemahaman pelajar terhadap kursus yang diikuti. Ujian objektif lazimnya memuatkan beberapa banyak soalan dan pelajar perlu memperlihatkan penguasaan subjek secara terperinci. Sebaliknya peperiksaan bercorak esei menghendaki pelajar menyusun jawapan dalam bentuk karangan sebagai maklum balas terhadap soalan-soalan yang diajukan. Walaupun ujian objektif dan peperiksaan esei mempunyai tujuan yang sama, iaitu menilai pencapaian pelajar, namun teknik yang digunakan kedua-duanya berbeza sama sekali.
Ciri-cirinya: Sebaliknya [tetapi, namun, bagaimanapun dan lain-lain].