25 May
PENGENALAN

Perkataan ’karang’ berasal daripada pekerjaan menggubah bunga, mereka ukiran atau membuat sesuatu yang cantik. Dari situ dikembangkan maknanya kepada menyusun perkataan dengan aturan yang elok dalam bentuk hal atau cerita supaya dapat dibaca oleh orang lain (Za’ba: 1965). Manakala Kamus Dewan (1986) menjelaskan, istilah karangan merujuk kepada gubahan, ciptaan, susunan. Dalam Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) selain perkataan ‘mengarang’, istilah yang digunakan untuk merujuk aktiviti menulis tahap tinggi ialah menyurat, disurat atau persuratan. Ketiga-tiga kosa kata ini banyak digunakan dalam kitab-kitab Melayu klasik berbanding perkataan mengarang. Pada zaman sebelum penjajahan, tulisan Jawi yang berasal daripada abjad Arab digunakan secara meluas dalam semua jenis penulisan karangan. Manakala tulisan Rumi (Romawi) yang berasaskan huruf-huruf Yunani diperkenalkan oleh penjajah dan terus digunapakai sehingga hari ini. 

          Mengarang merupakan proses menghasilkan bahan yang berbentuk idea, pendapat pengalaman, perasaan dan maklumat dalam bentuk tulisan yang berhubung dengan diri sendiri, orang lain atau peristiwa. Menurut Raminah Sabran (1985), penulisan ialah penglahiran perasaan, fikiran dan idea ke dalam bentuk grafik. Bentuk-bentuk grafik ini disusun hingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya. 

          Don Bryne (1979) pula menyatakan manusia menggunakan simbol-simbol grafik semasa menulis, iaitu penggunaan huruf-huruf atau gabungan huruf-huruf yang berkaitan dengan lambanglambang bunyi yang kita buat semasa bercakap. Penulisan merupakan satu keterampilan berbahasa yang digunakan dalam komunikasi secara tidak langsung atau komunikasi tanpa bersemuka. Penulisan juga adalah satu pengolahan pemikiran atau sebagai satu proses mekanis yang melibatkan penggunaan alat dan teknik untuk mengungkapkan gagasan, falsafah dan idealisme. Dengan kata lain, karangan merupakan sebuah wacana, iaitu kesatuan buah fikiran atau pernyataan yang disusun secara logik dan sistematik serta berkaitan maknanya antara satu dengan yang lain.

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING