Telah dinyatakan dalam bahagian awal bahawa perenggan yang ideal harus terdiri oleh unsur-unsur dasar yang meliputi ayat topik dan ayat-ayat penyangga. Idea utama diluahkan ke dalam ayat topik, manakala idea sokongan ke dalam ayat-ayat penyangga. Ayat-ayat penyangga inilah yang mendukung penjelasan dan pembuktian tentang idea utama dalam ayat topik. Ayat topik boleh diletakkan pada bahagian-bahagian tertentu dalam perenggan.
Perenggan deduktif bermula dengan ayat topik. Ayat topik yang mendukung idea utama dikemukakan pada bahagian awal perenggan. Sementara ayat-ayat penyangga yang mendukung isi atau idea sokongan sama ada berbentuk penjelasan ataupun pembuktian dikemudiankan. Contoh:
Kosa kata memainkan peranan dan merupakan unsur dasar yang paling penting dalam kemampuan berbahasa, khususnya dalam karang mengarang. Jumlah kosa kata yang dimiliki oleh seseorang akan menjadi petunjuk tentang pengetahuan seseorang itu. Di samping itu jumlah kosa kata yang dikuasai seseorang juga akan menjadi indikator bahawa orang itu mengetahui sekian banyak konsep. Semakin banyak kosa kata yang dikuasai, semakin banyak pula pengetahuan seseorang. Dengan demikian, seorang penulis akan mudah memilih kata-kata yang tepat atau sesuai untuk mengungkapkan idea yang ada dalam pemikirannya.
Perenggan induktif bermula dengan idea-idea sokongan, iaitu hal-hal khusus, kemudian diakhiri dengan penyataan umum. Dalam perenggan induktif, ayat topik atau pernyataan topik terletak pada bahagian akhir perenggan. Perhatikan contoh berikut:
Industri sampingan tumbuh dengan banyaknya sebagai hasil pembabitan Malaysia dalam projek-projek industri berat. Contohnya, projek industri kereta Proton Saga memerlukan beratus-ratus ribu liter cat sebagai cat asas lapisan atas kereta. Keperluan terhadap cat ini memberikan peluang berkembangnya industri cat. Di samping itu berkembang juga industri permbuatan alat-alat ganti kereta. Wujudnya industri berat di Malaysia ini memberikan faedah yang besar kepada penduduk negara ini dari segi peluang pekerjaan.
Perenggan jenis ini merupakan gabungan deduktif induktif mengemukakan ayat topik pada awal perenggan dan pada akhir perenggan, manakala di tengahnya dikemukakan idea-idea penyangga. Perhatikan contoh di bawah ini.
Peningkatan taraf pendidikan para petani dianggap sama pentingnya dengan usaha peningkatan taraf hidup mereka. Petani yang berpendidikan dapat mengubahkan sistem pertanian tradisional menjadi pertanian moden yang produktif. Petani yang berpendidikan mampu menerima perubahan dan pembangunan secara positif. Mereka dapat memberikan maklum balas yang setimpal terhadap segala rancangan yang digubal oleh para perancang pembangunan, sama ada peringkat pusat, negeri ataupun daerah. Itulah sebabnya, peningkatan taraf pendidikan para petani dianggap sangat mustahak.taraf pendidikan para petani dianggap sama pentingnya dengan usaha peningkatan taraf hidup mereka.