Proses membina sebuah perenggan adalah sama dengan proses membina sebuah karangan. Perenggan, dalam skopnya yang lebih kecil, seperti juga sebuah karangan mesti mempunyai tujuan. Tujuan sesebuah karangan dinyatakan oleh pernyataan tesis, manakala tujuan perenggan pula dinyatakan oleh ayat topik. Sesebuah perenggan yang lengkap dan berkesan terbina oleh unsur-unsur asas berikut:
Ayat topik, iaitu isi atau gagasan utama yang menjadi tema seluruh perenggan serta memandu pengembangan satu unit buah fikiran dalam satu perenggan bagi menyokong pernyataan tesis karangan.
Ayat penyangga utama, iaitu ayat yang mengembangkan gagasan dalam ayat topik dan merujuk ayat topik secara langsung. Ayat penyangga juga dikenali sebagai ayat sokongan utama. Ayat penyangga terbina dalam bentuk fakta-fakta, contohan, data-data atau huraian.
Ayat penyangga kecil, iaitu ayat yang menyediakan keterangan lanjut tentang ayat topik dan merujuk penyangga utama secara langsung. Ayat penyangga kecil dapat dibina menerusi huraian lanjut data-data, fakta-fakta atau contohan yang bertujuan mengukuhkan penjelasan dalam ayat penyangga utama.
Ayat kesimpulan, iaitu ayat akhir yang menutup perenggan sebelum beralih kepada perenggan yang seterusnya. Walau bagaimanapun, ayat kesimpulan tidak bersifat tetap pada setiap perenggan. Kewujudannya tergantung pada keperluan dan keutuhan wacana pada ayat topik dan ayat penyangga utama. Yang pasti, ayat kesimpulan wajar ditulis dalam perenggan terakhir sesebuah karangan.