PENULISAN KARANGAN FAKTA

PENGOLAHAN KARANGAN YANG BAIK

NAMA: CELINE JULAN LEO
NO MATRIK: D20171077826
KUMPULAN : D
PENSYARAH: DR. NUR FARAHKHANNA BINTI MOHD RUSLI
BMP3093 APLIKASI KOMPUTER DALAM BAHASA MELAYU

25May

Perkataan ’karang’ berasal daripada pekerjaan menggubah bunga, mereka ukiran atau membuat sesuatu yang cantik. Dari situ dikembangkan maknanya kepada menyusun perkataan dengan aturan yang elok dalam bentuk hal atau cerita supaya dapat dibaca oleh orang lain (Za’ba: 1965). Manakala Kamus Dewan (1986) menjelaskan, istilah karangan merujuk kepada gubahan, ciptaan, susunan. Dalam Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) selain perkataan ‘mengarang’, istilah yang digunakan untuk merujuk aktiviti menulis tahap tinggi ialah menyurat, disurat atau persuratan. Ketiga-tiga kosa kata ini banyak digunakan dalam kitab-kitab Melayu klasik berbanding perkataan mengarang. Pada zaman sebelum penjajahan, tulisan Jawi yang berasal daripada abjad Arab digunakan secara meluas dalam semua jenis penulisan karangan. Manakala tulisan Rumi (Romawi) yang berasaskan huruf-huruf Yunani diperkenalkan oleh penjajah dan terus digunapakai sehingga hari ini. 

          Mengarang merupakan proses menghasilkan bahan yang berbentuk idea, pendapat pengalaman, perasaan dan maklumat dalam bentuk tulisan yang berhubung dengan diri sendiri, orang lain atau peristiwa. Menurut Raminah Sabran (1985), penulisan ialah penglahiran perasaan, fikiran dan idea ke dalam bentuk grafik. Bentuk-bentuk grafik ini disusun hingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya. 

          Don Bryne (1979) pula menyatakan manusia menggunakan simbol-simbol grafik semasa menulis, iaitu penggunaan huruf-huruf atau gabungan huruf-huruf yang berkaitan dengan lambanglambang bunyi yang kita buat semasa bercakap. Penulisan merupakan satu keterampilan berbahasa yang digunakan dalam komunikasi secara tidak langsung atau komunikasi tanpa bersemuka. Penulisan juga adalah satu pengolahan pemikiran atau sebagai satu proses mekanis yang melibatkan penggunaan alat dan teknik untuk mengungkapkan gagasan, falsafah dan idealisme. Dengan kata lain, karangan merupakan sebuah wacana, iaitu kesatuan buah fikiran atau pernyataan yang disusun secara logik dan sistematik serta berkaitan maknanya antara satu dengan yang lain.

25May

Proses membina sebuah perenggan adalah sama dengan  proses membina sebuah karangan. Perenggan, dalam skopnya yang lebih kecil, seperti  juga sebuah karangan mesti mempunyai tujuan. Tujuan sesebuah karangan dinyatakan oleh pernyataan tesis, manakala tujuan perenggan pula dinyatakan oleh ayat topik. Sesebuah perenggan yang lengkap dan berkesan terbina oleh unsur-unsur asas berikut:

 

Ayat topik, iaitu isi atau gagasan utama yang menjadi tema seluruh perenggan serta memandu pengembangan satu unit buah fikiran dalam satu perenggan bagi menyokong pernyataan tesis karangan.

 

Ayat penyangga utama, iaitu ayat yang mengembangkan gagasan dalam ayat topik dan merujuk ayat topik secara langsung. Ayat penyangga juga dikenali sebagai ayat sokongan utama. Ayat penyangga terbina dalam bentuk fakta-fakta, contohan, data-data atau huraian.

 

Ayat penyangga kecil, iaitu ayat yang menyediakan keterangan lanjut tentang ayat topik dan merujuk penyangga utama secara langsung. Ayat penyangga kecil dapat dibina menerusi huraian lanjut data-data, fakta-fakta atau contohan yang bertujuan mengukuhkan penjelasan dalam ayat penyangga utama.

 

Ayat kesimpulan, iaitu ayat akhir yang menutup perenggan sebelum beralih kepada perenggan yang seterusnya. Walau bagaimanapun, ayat kesimpulan tidak bersifat tetap pada setiap perenggan. Kewujudannya tergantung pada keperluan dan keutuhan wacana pada ayat topik dan ayat penyangga utama. Yang pasti, ayat kesimpulan wajar ditulis dalam perenggan terakhir sesebuah karangan.

25May

Terdapat pelbagai teknik menulis perenggan bergantung kepada jenis dan motif karangan. Perhatikan teknik-teknik perenggan berikut yang boleh diaplikasikan sama ada ketika kita menulis perenggan permulaan, peranggan di bahagian badan karangan ataupun perenggan penutup.


1. Teknik Penyenaraian

 

Ayat dalam perenggan yang baik dapat dipecahkan kepada empat fungsi asas. Pertama, pembuka perenggan, iaitu ayat yang menentukan topik fokus dalam perenggan seluruhnnya. Kedua ialah pengembang perenggan yang menyajikan pelbagai contoh, bukti serta perincian bagi menyokong idea utama yang dikemukakan dalam pembuka perenggan. Ketiga ialah modulator, iaitu ayat yang menghasilkan peralihan yang lancar antara idea-idea yang berbeza dalam ayat. Keempat pengakhir perenggan, iaitu ayat menyimpulkan idea yang dibincangkan dalam perenggan secara logik. Bukan semua penulisan dicirikan oleh fungsi-fungsi ayat seperti yang dianalisis ini. Bagaimanapun, perenggan yang baik biasanya mempunyai gabungan beberapa fungsi daripada keempat-empat fungsi sepeti yang dinyatakan itu.

 

 Ciri-cirinya: Pertama, Kedua, Ketiga, Keempat.

 

2. Teknik Percontohan

 

Tidak syak lagi, banyak daripada tamadun besar terlibat dalam terjemahan yang luas. Di Asia, Jepun dan China terkenal kerana bidang terjemahan mereka. Begitu juga tamadun Anglo-Saxon di Britain, Amerika Utara dan Australia. Malah, ramai penulis kita mengenali sastera dunia hanya melalui bahasa Inggeris. Tamadun Melayu pada kurun ke empat dan lima belas juga telah membuka diri kepada pemikiran Arab serta Parsi.

 

Ciri-cirinya: Asia, Jepun, China, Britain, Amerika Utara, Australia, Arab, Parsi.

 

3. Teknik Perbandingan 

 

Di universiti dan juga maktab, ujian objektif dan peperiksaan esei merupakan dua kaedah penilaian yang sering digunakan untuk mengukur pengetahuan dan pemahaman pelajar terhadap kursus yang diikuti. Ujian objektif lazimnya memuatkan beberapa banyak soalan dan pelajar perlu memperlihatkan penguasaan subjek secara terperinci. Sebaliknya peperiksaan bercorak esei menghendaki pelajar menyusun jawapan dalam bentuk karangan sebagai maklum balas terhadap soalan-soalan yang diajukan. Walaupun ujian objektif dan peperiksaan esei mempunyai tujuan yang sama, iaitu menilai pencapaian pelajar, namun teknik yang digunakan kedua-duanya berbeza sama sekali.

 

 Ciri-cirinya: Sebaliknya [tetapi, namun, bagaimanapun dan lain-lain].

25May

Telah dinyatakan dalam bahagian awal bahawa perenggan yang ideal harus terdiri oleh unsur-unsur dasar yang meliputi ayat topik dan ayat-ayat penyangga. Idea utama diluahkan ke dalam ayat topik, manakala idea sokongan ke dalam ayat-ayat penyangga. Ayat-ayat penyangga inilah yang mendukung penjelasan dan pembuktian tentang idea utama dalam ayat topik. Ayat topik boleh diletakkan pada bahagian-bahagian tertentu dalam perenggan.


  • PERENGGAN DEDUKTIF

 Perenggan deduktif bermula dengan ayat topik. Ayat topik yang mendukung idea utama dikemukakan pada bahagian awal perenggan. Sementara ayat-ayat penyangga yang mendukung isi atau idea sokongan sama ada berbentuk penjelasan ataupun pembuktian dikemudiankan. Contoh:

 

Kosa kata memainkan peranan dan merupakan unsur dasar yang paling penting dalam kemampuan berbahasa, khususnya dalam karang mengarang. Jumlah kosa kata yang dimiliki oleh seseorang akan menjadi petunjuk tentang pengetahuan seseorang itu. Di samping itu jumlah kosa kata yang dikuasai seseorang juga akan menjadi indikator bahawa orang itu mengetahui sekian banyak konsep. Semakin banyak kosa kata yang dikuasai, semakin banyak pula pengetahuan seseorang. Dengan demikian, seorang penulis akan mudah memilih kata-kata yang tepat atau sesuai untuk mengungkapkan idea yang ada dalam pemikirannya.



  • PERENGGAN INDUKTIF

Perenggan induktif bermula dengan idea-idea sokongan, iaitu hal-hal khusus, kemudian diakhiri dengan penyataan umum. Dalam perenggan induktif, ayat topik atau pernyataan topik terletak pada bahagian akhir perenggan. Perhatikan contoh berikut:


Industri sampingan tumbuh dengan banyaknya sebagai hasil pembabitan Malaysia dalam projek-projek industri berat. Contohnya, projek industri kereta Proton Saga memerlukan beratus-ratus ribu liter cat sebagai cat asas lapisan atas kereta. Keperluan terhadap cat ini memberikan peluang berkembangnya industri cat. Di samping itu berkembang juga industri permbuatan alat-alat ganti kereta. Wujudnya industri berat di Malaysia ini memberikan faedah yang besar kepada penduduk negara ini dari segi peluang pekerjaan.

 

  •  PERENGGAN DEDUKTIF INDUKTIF

Perenggan jenis ini merupakan gabungan deduktif induktif mengemukakan ayat topik pada awal perenggan dan pada akhir perenggan, manakala di tengahnya dikemukakan idea-idea penyangga. Perhatikan contoh di bawah ini.


Peningkatan taraf pendidikan para petani dianggap sama pentingnya dengan usaha peningkatan taraf hidup mereka. Petani yang berpendidikan dapat mengubahkan sistem pertanian tradisional menjadi pertanian moden yang produktif. Petani yang berpendidikan mampu menerima perubahan dan pembangunan secara positif. Mereka dapat memberikan maklum balas yang setimpal terhadap segala rancangan yang digubal oleh para perancang pembangunan, sama ada peringkat pusat, negeri ataupun daerah. Itulah sebabnya, peningkatan taraf pendidikan para petani dianggap sangat mustahak.taraf pendidikan para petani dianggap sama pentingnya dengan usaha peningkatan taraf hidup mereka.

25May

i. Dengan menulis kita dapat mengembangkan berbagai-bagai idea atau gagasan. Oleh itu kita terpaksa bertaakul dan bernalar; fakta-fakta serta isi hujahan dihubungkan dan dibandingkan. Hal ini mungkin tidak akan kita lakukan jika kita tidak menulis.

ii. Kegiatan menulis memaksa kita banyak mencari, mengkaji, menyerap dan menguasai maklumat yang berkaitan tajuk atau mauduk yang hendak ditulis. Dengan demikian, menulis memperluas dan memperdalam wawasan kita secara teoretis dan empiris tentang tajuk atau fakta yang kita paparkan.

iii. Kegiatan menulis yang terancang akan membiasakan kita berfikir serta berbahasa secara tertib. Ketertiban berfikir dan berbahasa sebenarnya menjadi cerminan keintelektualan seseorang.

iv. Dengan menulis kita akan dapat mengetahui kemampuan dan potensi diri. Untuk menulis dan mengembangkan sesuatu tajuk, kita terpaksa berfikir, menggali pengetahuan dan pengalaman yang kadangkala tersimpan dalam minda bawah sedar kita.

v. Keupayaan menulis dengan baik dan berkesan ialah suatu pencapaian yang harus diperolehi oleh golongan berpendidikan lebih-lebih lagi oleh golongan yang bergelar mahasiswa. Melalui kegiatan menulis dapat kita tunjukkan bahawa kita telah mencapai dan menguasai suatu tahap kemahiran menulis yang sewajarnya.

vi. Pendidikan formal yang kita lalui menekankan soal penerimaan ilmu dan maklumat yang bermakna. Soal ini memerlukan kemahiran dan kecekapan menulis. Kecekapan menulis bertalian erat dengan kecekapan berfikir, menyusun dan menyampaikan buah fikiran dengan baik. Dengan kata lain, penulis yang baik sebenarnya ialah pemikir. Pemikir dapat menjadi ahli profesional yang baik. Hal inilah merupakan ciri penting orang yang berpendidikan.

25May

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap suka menabung perlu dipupuk sejak dari kecil lagi. Menabung banyak memberi faedah kepada kita.

            Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh sebab itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan air dan makanan ke sekolah. Justeru, baki duit yang diberi oleh ibu bapa dapat disimpan ke dalam tabung.

            Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu, wang simpanan juga membantu kita untuk membeli barang-barang keperluan diri kita sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat-cermat dan berdikari itu.

            Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit, wang itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, wang ini juga boleh digunakan jika ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru, kita tidak perlu meminta-minta daripada orang lain.

            Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan masa hadapan. Kita juga akan dapat hidup dengan selesa dan tidak menyusahkan orang lain.

Sesungguhnya, menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

25May

PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Tidak dinafikan lagi bahawa bahasa Melayu diperakui sebagai bahasa bersifat kebangsaan berasaskan kepada gerak sejarah yang telah dilaluinya. Atas kepentingan inilah bahasa Melayu dikodifikasikan dalam Perlembagaan Malaysia (Perkara 152) sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Penggunaan bahasa Melayu turut memberi implikasi terhadap dasar pendidikan negara. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada Mei 1970 adalah merupakan satu peristiwa kebudayaan yang bersejarah kepada rakyat Malaysia amnya. Pengukuhan kepada tindakan tersebut disusuli lagi dasar yang baru antaranya dengan menggubal Dasar Kebudayaan Kebangsaan Malaysia 1971. Komitmen dan iltizam yang dizahirkan tersebut adalah bertujuan untuk memelihara kepentingan bahasa Melayu sebagai mengabsahkan asas pembinaan negara bangsa yang telah dibentuk sebelumnya.

 

Kini bahasa Melayu perlu berinteraksi dengan keperluan zaman yang canggih dalam arus perkembangan teknologi, kemajuan perdagangan dan kegiatan ekonomi serta perhubungan yang bersifat global didukung oleh bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris. Dominasi dan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat langit terbuka tidak dapat dielakkan. Realitinya, bahasa Inggeris telah diangkat sebagai bahasa intelektual untuk mendalami bidang teknologi dan ilmu pengetahuan yang lain dalam pelbagai bidang. Walau bagaimanapun, keperluan mendadak terhadap ilmu sains dan sebagainya bukanlah satu ancaman sehingga merendahkan kemulukan bahasa Melayu untuk berfungsi sebagai alat penyebaran ilmu. Menurut Nor Shah Mohamed dalam artikelnya “Dalam Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Dunia Informasi, Komunikasi dan Teknologi (ICT): Isu dan Cabaran”, secara positifnya, bahasa Inggeris dilihat sebagai medium untuk berkomunikasi  dalam dalam pelbagai bidang ilmu terutamanya dalam bidang teknikal. 

 

Merujuk kepada latar belakang sistem pendidikan di Malaysia, senario yang berlaku di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam pada tahun 1983 telah menunjukkan sebahagian besar kursus pelajar tahun satu universiti dalam bidang sastera, sains, kejuruteraan, perubatan dan sebagainya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Perancangan ini belum dikira sejak tahun 1956, iaitu semasa pelaksanaan dasar Penyata Razak. Berdasarkan kepada penulisan Kamal Shukri Abdullah Sani dalam makalahnya “Bahasa Melayu Dipertahan Bahasa Inggeris Diperkukuhkan”, beliau menjelaskan bahawa secara umumnya, lebih lima juta pelajar telah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan bagi peringkat SPM sejak tahun 1975 hingga tahun 2001. Daripada jumlah pelajar tersebut, lahirlah professor dan pakar sains, kejuruteraan, perubatan, teknologi dan sebagainya untuk mengisi sumber tenaga manusia di negara ini dalam pelbagai bidang. 

 

Tegasnya, pengajaran dan pembelajaran dalam medium bahasa Melayu tidak akan menggugat para pelajar di peringkat tinggi untuk menguasai pelbagai cabang bidang ilmu dengan baik. Hal ini demikian kerana usaha yang berterusan telah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan pihak-pihak lain yang bertanggungjawab melaksanakan pelbagai aktiviti seperti kegiatan penterjemahan, pembinaan istilah dan penerbitan buku-buku ilmiah dapat memenuhi tujuan tersebut. Semua perancangan ini perlu disokong oleh semua pihak bagi memastikan pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu yang lebih praktis sifatnya dan sentiasa relevan.

 

Mengambil contoh perkembangan yang berlaku di Jepun dan Jerman telah membuktikan bagaimana kedua-dua bahasa itu begitu cepat menyesuaikan keadaan dan membina kecemerlangan ekonomi selepas Perang Dunia Kedua. Jika diperhatikan perkembangan yang berlaku di Jepun dan Korea, gerakan penterjemahan telah menjadi tanggungjawab nasional dan dianggarkan di keduadua buah negara itu kira-kira dua puluh ribu hingga tiga puluh ribu judul buku diterjemahkan pada setiap tahun. Mereka mengejar kemajuan, tetapi tidak mengabaikan obligasi membina tamadun bangsa. Apabila pelbagai disiplin ilmu pengetahuan yang ditulis dalam bahasa asing diterjemah dengan segera dalam bahasa ibunda mereka, secara tidak langsung tindakan tersebut dapat memperkasakan lagi bahasa dan kebudayaan tamadun negara mereka.

 

Sehubungan dengan itu, berdasarkan pandangan yang telah dilontarkan oleh seorang ahli sosiologi yang terkenal Malik Bennabi, beliau berpandangan bahawa apabila kita menuturkan pemikiran-pemikiran dengan menggunakan bahasa asing, mentaliti masyarakat boleh menjadi buta budaya sendiri dan ada kalanya sehingga sampai ke tahap pengkhianatan. Berdasarkan kepada hipotesis yang dikemukakan oleh Ellen Byalistok dalam bukunya “Bilingualism in Development: Language, Literacy and Cognition, bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan pelajar yang melalui pengajaran dan pembelajaran secara dwibahasa menjadi lebih berjaya daripada yang menggunakan satu bahasa. Kajian juga membuktikan ada tanda-tanda yang menunjukkan pelajar yang dipaksa berbuat demikian mempunyai kemahiran bahasa yang lemah. Fenomena ini menyebabkan ahli bahasa memanggilnya sebagai “defisit bahasa”.

 

Jika bangsa lain boleh maju dengan bahasa ibundanya sendiri, mengapa pula institusi pengajian tinggi tempatan tidak boleh maju dengan bahasa Ibundanya. Percayalah bahawa bahasa yang tidak diaplikasikan sebagai wadah ilmu dan cuma diaplikasikan sebagai bahasa pasar, bahasa pertuturan tahap rendah, bahasa basahan, sekadar bersembang dikedai kopi akhirnya akan hilang maruah. Nilai bahasa tersebut akan pupus ditelan arus zaman sebagaimana yang berlaku pada bahasa Anglo Saxon (bahasa Inggeris tua). Justeru itu, perkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pengajaran dan dalam masa yang sama peningkatan penguasaan bahasa lain seperti bahasa Inggeris tidak boleh dinafikan kepentingannya. Usaha murni untuk menguasai mana-mana bahasa yang dapat membantu meningkatkan kemajuan tamadun merupakan satu usaha yang wajar. Meskipun begitu, penguasaan bahasa asing tersebut tidak seharusnya mengorbankan dasar-dasar negara yang menyentuh tentang Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

 

Kepentingan menguasai bahasa Inggeris bukanlah satu perkara yang dipertikaikan lagi dewasa ini. Pengukuhan untuk memantapkan pengusaan bahasa Inggeris di peringkat pengajian tinggi adalah sesuatu perkara yang penting pada hari ini. Hal ini demikian kerana bahasa tersebut menjadi alat utama untuk berkomunikasi dengan pihak luar. Peningkatan pengusaaan bahasa Inggeris kepada para pelajar boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara dengan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti bagi menjaya usaha tersebut. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, realiti yang berlaku kini penggunaan bahasa Inggeris telah digunakan dalam proses penyampaian ilmu kepada para pelajar tambahan lagi dalam bidang teknikal. Hal ini demikian kerana umum mengetahui bahawa sebahagian besar penulisan ilmiah dalam bidang tersebut ditulis dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, keghairahan mengaplikasikan pengggunaan bahasa Inggeris dalam kaedah pengajaran dan pempelajaran janganlah sampai mengabaikan kepentingan bahasa Melayu dalam landasan penerokaan ilmu. Ironinya, lautan ilmu janganlah disempitkan dengan hanya membataskan kepada penguasaan bahasa Inggeris semata-mata, sebaliknya penggunaan bahasa Inggeris dalam bidang ilmu itu dijadikan sebagai satu hambatan ke arah merancakkan lagi perkembangan intelektual.

 

Berdasarkan kepada realiti tersebut, maka kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bidang tersebut dilihat lebih berkesan dan mudah untuk disampai dan dituturkan dalam bahasa yang asal. Tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris itu penting tambahan lagi pada peringkat pengajian tinggi. Pengusaaan bahasa Inggeris diangggap sebagai satu kemahiran asas yang perlu dikuasai dan memberi satu kelebihan kepada individu yang menguasainya. Atas kepentingan inilah, bahasa Inggeris dilihat sebagai keperluan dan dimasukkan sebagai elemen kemahiran insaniah yang perlu ada pada setiap pelajar. Namun begitu, ia bukanlah menjadi satu alasan yang konkrit untuk mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak dapat berfungsi untuk memenuhi selera golongan ilmuan yang terdidik. 


Journal of Human Development and Communication Volume 4, 2015 [125–134]


Blog ini merupakan tugasan individu yang perlu saya hasilkan bagi memenuhi markah dalam subjek BMP3093 Aplikasi Komputer  dalam Bahasa Melayu .

About Me image

Follow The Blog To Get A Better Understanding Of Blog Creation

“An aspiring writer should write one time and edit ten times.”

― Amit Kalantri

  • Tanjong Malim, Perak, Malaysia
I BUILT MY SITE FOR FREE USING